“Bila dengar nyanyian nenek memang terubat rindu.. ” – Duet Jarak Jauh Lagu P.Ramlee-Saloma antara Cucu dan Nenek Tarik Perhatian Netizen

BERJAUHAN dengan keluarga kerana berada di luar negara atas tuntutan kerja atau melanjutkan pengajian sememangnya ada dugaan tersendiri.

Merindui kampung halaman atau homesick terutama pada insan tersayang alahai… hanya Tuhan saja yang tahu, dan begitulah yang dialami oleh seorang pemuda.

Menerusi lagu Malam Bulan Dipagar Bintang dendangan Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Saloma, pemuda ini menyanyi ‘berduet’ bersama nenek tercinta secara jarak jauh menerusi aplikasi voice note di Whatsapp.

“Apabila semua ada kekasih untuk bermanja, saya ada nenek untuk menyanyi bersama,” demikian perkongsiannya di laman sosial yang diulang kicau 20,000 kali.

Pemuda berkenaan, Muhammad Irham Kamal berkata, dia kini berada di Mesir bagi menyambung pengajian dalam jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar.

Muhammad Irham dibesarkan di rumah neneknya.

Pemuda berusia 19 tahun itu dibesarkan oleh neneknya di Kampung Endah, Banting, Selangor, yang mana rumah warga emas itu terletak berhadapan dengan rumah ibu bapanya.

“Waktu saya buat panggilan video dengan ibu ayah di kampung, lepas tu rindu sangat dengan nenek. Saya nyanyi dulu sebelum ibu rakamkan nenek menyanyi.

“Lagu Malam Bulan Dipagar Bintang tu memang kegemaran kami berdua. Bila dengar nyanyian nenek memang terubat rindu dari kejauhan di Mesir,” katanya kepada mStar mengenai neneknya, Masriah Ngadimin yang berusia 70 tahun.

Bersama keluarga dan nenek kesayangan.

Muhammad Irham berkata, dia dan neneknya sering menyanyi lagu-lagu klasik bersama, sekiranya ada masa lapang sewaktu di Malaysia.

“Walaupun rumah ibu bapa saya berhadapan dengan rumah nenek, tapi saya duduk dan membesar bersama nenek.

Lagu Malam Bulan Dipagar Bintang tu memang kegemaran kami berdua. Bila dengar nyanyian nenek memang terubat rindu dari kejauhan di Mesir

MUHAMMAD IRHAM

“Dulu sebelum tidur selalu nyanyi lagu tu bersama, sama ada dengan nenek atau arwah atuk,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Sewaktu sambutan hari ulang tahun nenek, tahun lalu.

Disebabkan neneknya tidak mempunyai telefon, maka ibunya menjadi pengantara buat mereka berdua untuk berkomunikasi terutama di kala kerinduan.

“Sebenarnya nenek marah kalau kata rindu sebab nenek pesan nak tuntut ilmu kena ada pengorbanan, berkorban sikit masa dengan keluarga untuk capai kecemerlangan.

“Nenek saya garang tapi sayang hahaha,” katanya secara berseloroh sambil menyifatkan neneknya rajin dan pakar membuat kuih.

Bersama ibu (kiri) dan nenek.

Mengenai insan yang disayanginya itu, Muhammad Irham berkata, neneknya akan membuat kuih setiap pagi untuk dijual di gerai yang diusahakan ibu bapanya.

“Nenek saya seorang yang sangat rajin. Pagi buat kuih untuk berniaga, habis buat kuih sambung berkebun, lepas tu kemas rumah. Ada saja kerja nak dibuatnya.

“Ibu dan ayah saya buka perniagaan sarapan pagi di kampung. Ada nasi lemak, roti canai, lontong, jadi untuk kuih nenek saya yang sediakan.

“Saya rasa tak ada kuih yang nenek tak boleh buat, sebab nenek berniaga kuih sejak muda lagi. Kuih yang nenek buat paling saya suka adalah seri muka,” katanya sambil menambah neneknya dipanggil ‘emak’ oleh penduduk kampung.

Nyanyian nenek mengubat kerinduan di kala kejauhan.

Menurut anak muda ini, ibunya berpesan supaya sentiasa menghargai dan kasihkan keluarga kita sehabis baik dan sepenuh hati, sebab ketenangan hati dan reda Allah datang daripada keluarga yang ada hubungan baik antara satu sama lain.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT memelihara nenek, diberi kekuatan dan kesihatan berpanjangan. Kalau rindu, saya boleh buat video call,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*